Tuesday, April 6, 2010

Artikel Tudung Syria



Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar WAHIDAH ZAINAL


Wajah yang lebar akan nampak lebih kecil apabila memakai tudung ini.

FESYEN tudung sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja tudung dengan rekaan atau fabrik terbaru yang dikeluarkan oleh pengusaha tudung.

Ini kerana perniagaan tudung mampu memberikan keuntungan lumayan disebabkan minat wanita sendiri yang suka bertukar atau mencuba tudung baru yang ada dalam pasaran.

Tudung Syria walaupun sudah lima tahun berada di pasaran namun masih belum ramai yang mengenali atau memakainya. Sungguhpun demikian, tudung ini masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Mungkin tudung ini kurang popular kerana tidak ramai yang mahu mencubanya lantas ia semakin ketinggalan apatah lagi apabila kemunculan tudung segera yang ternyata paling disukai oleh wanita di Malaysia.

Bagaimanapun bagi Safura Amirudin, dia lebih gemar memakai tudung Syria kerana keselesaan dan sesuai dengan bentuk mukanya.

Ibu kepada tiga orang anak yang berumur sembilan, tujuh dan lima tahun ini mempunyai banyak koleksi tudung ini dengan bermacam-macam pilihan warna.

''Suami saya juga lebih suka saya memakai tudung Syria dan menggalakkan saya untuk terus memakai tudung ini. Kata suami, dia tidak mahu saya nampak sama dengan wanita lain yang memakai tudung segera,'' kata Safura ketika sesi penggambaran tudung Syria yang digayakannya sendiri di Studio Utusan baru-baru ini.

Minat memakai sendiri membuatkan Safura terfikir untuk menjual tudung ini kepada orang lain. Kini sudah lima tahun dia menjual tudung Syria secara online kepada kawan-kawan atau kepada sesiapa yang berminat.

Katanya, jika belum mencuba, mungkin orang tidak tahu keselesaan memakai tudung ini. Namun setelah dipakai, mungkin ramai yang akan menyukai kerana bentuk muka nampak lebih cantik dan kemas. Lagipun, harga tudung ini jauh lebih murah iaitu RM15 sehelai.

Menurut Safura lagi, tudung Syria ini sesuai dipakai oleh semua bentuk muka, sama ada yang mempunyai bentuk muka lebar atau kecil.

Dibuat daripada kain kapas, tudung ini terdiri daripada dua helai, iaitu anak tudung dan tudung luar. Ia boleh diperoleh dengan bercorak, kosong, warna-warna terang atau warna lembut.

''Wanita yang tidak suka memakai tudung yang labuh, sesuai memakai tudung Syria kerana ia hanya menutupi paras dada dan nampak lebih kemas tanpa perlu dipin atau disemat kerongsang. Bagaimanapun jika anda mahu menyematkan kerongsang, akan nampak lebih cantik. Lebih penting dan disukai oleh semua ialah tudung ini tidak perlu digosok,'' ujar Safura lagi.

Credit to hmetro

0 comments:

Post a Comment

.blogspot World [e-Biz]